Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menyasarkan untuk menambah sumbangan hasil daripada operasi di luar negaranya sebanyak 20 peratus tahun ini.
Ini susulan kemasukan syarikat sekutunya, Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP), ke pasaran Filipina.
Bercakap kepada Bernama , Naib Presiden Kanan FGV yang juga Pemangku Ketua Hiliran, Zakaria Arshad, berkata menjelang 2020, syarikat merancang memiliki nisbah 50:50 sumbangan hasil daripada perniagaan tempatan dan antarabangsa.
"Kini nisbahnya 80:20 (domestik/antarabangsa).
"Sasaran ini ditetapkan dalam pelan tindakan FGV bagi 2013-2020 memandangkan kami mahu mengembangkan syarikat sebanyak lapan kali dalam tempoh lapan tahun. Untuk merealisasikannya, kami perlu mengembangkan perniagaan antara 20 peratus dan 25 peratus setahun, dan ini boleh dilakukan menerusi peningkatan eksport.
"Kami sudah menembusi Singapura, Kemboja, Laos, Myanmar, Vietnam, Brunei dan Indonesia. Hari ini, kami secara rasmi memasuki pasaran Filipina bagi mengembangkan lagi produk hiliran di pasaran luar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Perjanjian Pengedaran di Cebu semalam.
Perjanjian itu ditandatangani oleh DOP dan syarikat tempatan, Intisari Mulia International Inc (IMI), yang merupakan peneraju tempatan dalam dagangan, import dan eksport, dengan pelbagai syarikat bereputasi tinggi.
Menerusi perjanjian itu, IMI akan mengedar sembilan produk pengguna dan perusahaan DOP, iaitu minyak masak SAJI, marjerin Seri Pelangi, marjerin Adela, mi segera Sajimee, lelemak Mariana, mayonis Sajimayo dan mentega kacang Sunbear, krimer manis Saji dan kek pracampuran Adela.
Zakaria berkata kemasukan ke pasaran Filipina adalah hasil kerjasama dengan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), yang membantu mewujudkan kesedaran dalam kalangan penduduk tempatan mengenai manfaat menggunakan minyak masak, memandagkan mereka sudah biasa dengan minyak kelapa.
"Filipina terkenal kerana industri kelapanya, namun komoditi itu semakin mahal, selain penurunan bekalan dalam pasaran. Penanam kelapa mengeksport banyak kelapa muda dari negara itu.
"Kedudukan ini membuka peluang perniagaan untuk kami mengeksport minyak masak SAJI ke negara ini dan mewujudkan alternatif dalam pasaran," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Datuk Bandar Bandar Raya Cagayan de Oro, Cesar Ian Acenas, Pesuruhjaya Perdagangan Matrade Har Man Ahmad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Dr Kalyana Sundram, dan Pengarah Urusan IMI Marin Francisco.
- Bernama
