Sasaran 50 pingat emas paralimpik gagal
Walaupun gagal mencapai sasaran 50 pingat emas, atlet paralimpik negara mempamerkan peningkatan prestasi di temasya Sukan Para Asean ketujuh di sini, kata Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Abdul Jalil Abdullah.
Mengikut catatan tidak rasmi MSN, kontinjen negara menamatkan saingan lima hari di sini dengan mengumpul 49 pingat emas, 50 perak dan 36 gangsa.
"Walaupun sasaran kita kurang hanya satu pingat, ia bukanlah menunjukkan kemerosotan atlet kita di sini. Sebaliknya, pencapaian mereka amat membanggakan.
"Kebanyakan atlet yang membawa cabaran negara di sini bukanlah atlet sepenuh masa yang berpusat di MSN. Kita juga mengenengahkan lebih ramai atlet-atlet muda di sini dan pencapaian mereka amat membanggakan," kata Abdul Jalil pada sidang akhbar merumus pencapaian atlet di temasya dwitahunan itu.
Turut hadir ketua kontinjen negara ke Sukan Para Asean Myanmar Datuk Zakaria Musa.
Skuad olahraga menjadi penyumbang pingat terbanyak Malaysia dengan 36 pingat emas, melepasi sasaran awal mereka iaitu 32 pingat emas.
Malaysia turut meraih pingat emas melalui acara renang dengan enam pingat emas, manakala ping-pong satu pingat emas.
Acara catur, memanah dan powerlifting masing-masing menyumbang dua pingat emas.
"MSN akan membuat satu post-mortem selepas ini untuk mengenal pasti kekuatan dan juga kelemahan yang perlu diatasi menjelang Sukan Para Asean kelapan di Singapura tahun depan, begitu juga apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017 kelak.
"Pada Sukan Para Asean kali ini, ada di kalangan atlet-atlet kita tidak melalui program latihan yang tersusun kerana mereka tidak dapat mengikuti latihan pusat akibat kekangan pihak majikan yang tidak memberi pelepasan," kata Abdul Jalil.
Penubuhan Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kompleks Sukan Kampung Pandan, katanya, dapat digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan sukan itu.
Sementara itu, Zakaria berkata atlet telah mencapai kejayaan terbaik untuk Malaysia walaupun ada kekangan yang melibatkan beberapa acara sukan tidak dipertandingkan atau terpaksa digabungkan akibat kurang penyertaan.
"Atlet kita turun dengan penuh semangat. Mereka telah memberikan komitmen yang tinggi. Walaupun mereka gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan tetapi saya berbangga dengan pencapaian mereka," katanya.
Zakaria berkata pada temasya kali ini juga memperlihatkan atlet-atlet muda yang pertama kali mengambil bahagian dalam temasya dwitahunan itu turut cemerlang.
"Di sini mereka mengambil peluang menimba pengalaman dan dapat mengukur tahap prestasi masing-masing sebelum pergi ke temasya sukan yang lebih besar," katanya.
Malaysia menghantar 151 atlet termasuk 23 wanita pada temasya itu yang bermula dari 14 Jan lepas dan menyertai dalam 178 daripada 300 acara sukan.
Majlis penutupan rasmi temasya Sukan Para Asean akan berlangsung malam ini.
- Bernama

