Lee kutuk provokasi kumpulan 'pro-kangkung'
Selepas menjadi sasaran protes Umno dan sekutunya kelmarin dan semalam ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon mengutuk demonstrasi provokatif mereka dengan menyifatkannya sebagai "langkah ganas dan kasar".
Lee berkata hal demikian dapat dilihat melalui pengedaran sebaran (flyer) mengajak orang ramai menghadiri demonstrasi itu dengan tertera gambar seorang lelaki membawa parang serta bahasa berbaur ugutan dan provokasi.
"Saya menghormati hak berhimpun dan berdemo untuk Umno dan penyokongnya. Akan tetapi, tindakan mereka yang seringkali mengambil langkah yang ganas serta kasar dalam demonstrasi mereka amat dikesali," kata dalam kenyataannya semalam.
Lim berkata dua demonstrasi kumpulan itu telah membuat serangan peribadi kepada pimpinan Pakatan Rakyat, mengeluarkan kenyataan berbaur rasis dan keagamaan termasuk mengungkit ugutan berlaku rusuhan 13 Mei.
Malah, dalam demonstrasi semalam, Lim mendakwa penyokong Umno bertindak ganas dan memukul dua orang awam yang melalui tempat demonstrasi itu dan perkara itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Demonstrasi oleh Umno kelmarin dan semalam antara lain membantah perbuatan Lee yang juga ketua penerangan PKR Pulau Pinang yang didakwa bersikap biadap kerana menyindir kenyataan 'kangkung' pemimpin tertinggi negara.
Himpunan semalam pula menyaksikan segelintir daripada 300 peserta himpunan meludah, memijak dan membakar patung dengan gambar Lee serta menyimbah air ke atas poster pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Lee bagaimanapun menyeru rakyat Malaysia bersatu hati membantah kenaikan harga barang serta cukai barangan dan perkhidmatan dan fokus perjuangan mereka tidak dialihkan oleh "segelintir ahli politik perkauman sempit".
"Berkenaan dengan flash mob “I Love Kangkung” yang sebenarnya aman dan kreatif telah diputar-belitkan oleh Umno...
"Tindakan flash mob tersebut adalah bertujuan membantah sikap kerajaan persekutuan yang tidak bertanggungjawab ke atas siri kenaikan harga barangan.
"Isu harga barang naik adalah isu rakyat. Flash mob yang diadakan juga disertai oleh rakyat pelbagai kaum," katanya.

