Polis Diraja Malaysia (PRDM) menyokong penerbitan drama bersiri Gerak Khas bagi musim baru kali ini sebagai medium meningkatkan imej pasukan keselamatan demi menjaga keselamatan dan membendung jenayah.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata drama yang berkisarkan profesyen kepolisian terbitan Skop Production Sdn Bhd itu langkah yang baik menonjolkan imej positif polis kepada masyarakat.

"Keadaan ini (penerbitan drama) akan membuka ruang lebih luas kepada PDRM menonjolkan kredibiliti polis, sikap dan citra polis yang positif kepada masyarakat.

"Ia bagus bagi mana-mana organisasi, sama ada badan kerajaan mahu pun swasta. Ini kerana imej yang positif menjadi pengalak utama kecemerlangan dan keuntungan kepada organisasi.

"Melalui medium drama seperti inilah kita mengharapkan agar imej positif ini dapat dipertontonkan kepada masyarakat.

"Sekali gus memberikan keyakinan padu rakyat terus memberi kerjasama padu kepada PDRM membantu memelihara negara yang selamat dan bebas jenayah," katanya dalam ucapan majlis pelancaran drama itu di Bukit Aman hari petang ini.

Sementara itu, menurut pengarah urusan produksi itu, Datuk Yusof Haslam, drama itu mengetengahkan beberapa isu semasa dan konflik menarik bagi penonton setia drama itu.

Antaranya episod yang bakal menarik perhatian penonton adalah "Ops Gempur" yang memaparkan perjuangan yang berterusan PDRM yang berjuang menangani pelbagai jenayah serta kesibukan tugas anggota Gerak Khas.

Bagaimanapun, katanya, drama itu masih diselitkan dengan dilema dan konflik permasalahan peribadi dan keluarga.

Tambah pengarah veteran itu lagi, musim baru ini juga memaparkan mereka menjadi sasaran golongan penjenayah yang adakalanya mengakibatkan kecederaan dan kematian anggota mereka.

Drama ini akan menemui penonton setia setiap Jumaat mulai 14 Februari depan.