Bekalan bawal, udang putih kritikal di Johor
Ikan bawal putih dan udang putih di Johor menghadapi masalah kekurangan bekalan yang serius sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata kekurangan bekalan itu berikutan masalah musim tengkujuh yang menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.
"Sebelum ini selain sumber daripada nelayan tempatan, kita juga bergantung kepada import dari negara Indonesia, namun kali ini bekalan dari negara berkenaan juga sukar diperoleh
menyebabkan Johor menghadapi masalah kekurangan bekalan ikan bawal putih dan udang putih yang kritikal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama pemborong dan pembekal mengenai skim kawalan harga sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Mesyuarat dihadiri jabatan berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Jabatan Veterinar Negeri, Jabatan Perikanan dan persatuan pemborong ikan dan sayur serta persatuan penternak.
Bagaimanapun, Tee berkata bekalan ikan dan udang jenis lain dijamin mencukupi dan sehubungan itu beliau menggalakkan pengguna supaya beralih memilih ikan dan udang jenis lain sebagai pilihan untuk disajikan sempena musim perayaan nanti.
"Masyarakat Cina percaya jika disajikan makanan ikan dan udang semasa menyambut perayaan akan membawa tuah, tetapi tidak semestinya ikan bawal putih atau udang putih sahaja, masih banyak alternatif ikan jenis lain jika mahu dibeli," katanya.
Hasil mesyuarat yang diadakan itu terdapat 16 jenis barangan kegunaan masyarakat Cina akan dicadangkan kepada kerajaan pusat untuk dijadikan barangan kawalan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Antaranya, ayam, telur ayam, sayur seperti kubis bulat, barangan kering seperti bawang putih import China, udang putih dan ikan bawal putih serta daging babi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK negeri Rosle A. Hamid berkata hasil pemantauan harga runcit yang dijalankan PPDNKK sejak 2011 hingga tahun lepas di 89 premis di Johor mendapati tidak ada kenaikan harga barangan yang melampau.
"Kenaikan harga barangan runcit seperti rempah ratus dan barangan basah yang lain tidak sampai 50 peratus dalam tempoh tiga tahun itu contohnya ayam standard pada 2011 harga yang dicatatkan adalah RM7.20 hingga RM8.80 (sekilogram) manakala pada tahun lepas harganya adalah antara RM7 hingga RM8.50," katanya.
- Bernama

