T'ganu peruntuk RM3.3j 'program Trenglish'
Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan RM3.3 juta untuk melaksanakan 'Program Trenglish' yang memberi fokus kepada penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar tingkatan dua hingga empat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata peruntukkan itu telah diluluskan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Terengganu minggu lepas.
"Program yang mendapat kerjasama Yayasan Terengganu dan Jabatan Pendidikan negeri itu akan dilaksanakan pada waktu pembelajaran dalam aktiviti berbentuk kokurikulum serta pelbagai pendekatan dengan bahasa pertuturan utama ialah Bahasa Inggeris.
"Sekarang ini kami mula bergerak dengan membina satu pasukan yang dianggotai 10 orang yang kami panggil pasukan Trenglish dengan makmal-makmal yang kami buat. Kami juga akan merangka modul untuk melaksanakan program ini," katanya kepada pemberita di Majlis Mesra Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu di Kuala Terengganu.
Beliau berkata pada Februari ini, pasukan Trenglish akan ke Singapura bagi melihat program yang dilaksanakan di negara itu untuk dijadikan model program itu.
"Kami juga akan mengambil guru-guru TESL untuk mengajar di sekolah-sekolah dan guru-guru ini akan diberi elaun.
"Kita bermula dengan memilih sekolah-sekolah yang prestasi peperiksaannya rendah, sekolah yang ramai murid dan sekolah-sekolah di pedalaman supaya mereka tidak ketinggalan jauh ke belakang," katanya sambil memberitahu bahawa program itu akan dimulakan di 32 sekolah iaitu satu sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ghazali berkata melalui program itu, kerajaan negeri berharap sekurang-kurangnya 80 peratus individu dapat berbahasa Inggeris sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Berdasarkan pemerhatian yang dibuat secara menyeluruh, sekarang ini hampir 80 peratus rakyat negeri ini lemah dari segi penguasaan bahasa Inggeris," katanya.
- Bernama

