Pertubuhan Perpaduan Dan Kebajikan Islam Pulau Pinang (Isco) menghantar memorandum kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengadu mengenai penjualan daging khinzir secara terbuka di tempat awam.

 

Surat dua halaman itu yang dihantar kepada Presiden MPPP, Patahiyah Ismail, ditandatangani oleh Presiden Isco, Abdul Rahman Makhtun, dan diserahkan kepada jabatan tersebut di Komtar hari ini.

 

Tujuh ahli Isco menyerahkan surat itu kepada wakil kerajaan negeri, Zainulfaqar Yacob.

 

Abdul Rahman berkata sebagai sebuah negara yang ramai kaum, MPPP perlu lebih sensitif terhadap umat Islam kerana khinzir haram kepada masyarakat berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kesal MPPP dan kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak sensitif terhadap masyarakat Islam.

 

Menurut Abdul Rahman lagi, pihaknya bimbang penjual daging khinzir sangat berani sekarang untuk menjualnya secara terbuka di tiga kawasan - Chulia Street, Jalan Kuantan, dan CY Choy Street..

 

Chulia Street merupakan destinasi popular di George Town, yang

dipenuhi dengan hotel bajet dan penjaja makanan, manakala Jalan Kuantan menempatkan sebuah pasaran yang telah wujud sejak Perang Dunia II.

Satu lagi jalan utama di George Town adalah CY Choy Street (dahulu Bridge Street) yang membawa kepada pasar Jelutong yang terkenal.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik Setiausaha Isco Muhamad Firdaus Humayoon sebagai berkata MPPP sepatutnya menyediakan tempat khas dan bersesuaian di kawasan tertutup bagi peniaga daging berkenaan berniaga.

    

Beliau mendakwa antara kawasan yang menjual daging khinzir secara terbuka ialah Lebuh Chulia, Jalan Central, Jalan Kuantan dan Jalan CY Choy.

    

"Selain menyediakan tempat khas, MPPP sepatutnya menasihatkan peniaga-peniaga supaya jangan berniaga secara terbuka kerana ia menimbulkan rasa

tidak selesa di kalangan orang Islam di negeri ini.

    

"Saya juga dimaklumkan ada peniaga yang menjual daging berkenaan tidak mempunyai lesen MPPP dan mengapa pihak berkuasa tempatan itu (MPPP) tidak mengambil sebarang tindakan mengenainya," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

 

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Jelutong Mohd Yusmadi Mohd Yusof yang turut hadir berkata MPPP perlu membuat pemantauan lebih kerap di kawasan menjual daging khinzir berkenaan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang ingkar.

    

"Kita mahu kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi MPPP ambil tindakan segera bagi mengelak daging khinzir terus dijual secara terbuka, kalau boleh sediakan tempat khas.

    

"Tujuan kita hari ini menyerahkan aduan bukan mahu menutup perniagaan mereka tetapi biarlah sesuai kerana ia melibatkan sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam di negeri ini," katanya.