Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini membidas MP Shah Alam, Khalid Samad yang mempersoalkan motif MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam rampasan Bible baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata pihaknya "tidak mengikut telunjuk sesiapa pun sama ada dari pihak Umno atau kerajaan Persekutuan".

"Malahan MAIS sendiri pada dasarnya tidak setuju dengan Penyelesaian 10 Perkara yang dikeluarkan oleh Kabinet," kata Mohamad Adzib dalam kenyataannya.

Menurutnya, prinsip MAIS adalah tegas iaitu mempertahankan Islam dan mempertahankan titah Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri.

Khalid Samad juga digesa agar tidak campur tangan dalam kes tersebut yang hanya kerana kes serbuan ke atas Damansara Utama Methodist Centre pada tahun 2011 tidak diteruskan.

Pada 3 Ogos 2011 penguatkuasa JAIS melakukan pemeriksaan ke atas premis Gereja Damansara Utama (DUMC) setelah mendapat maklumat tentang dakwaan percubaan untuk memurtadkan orang Islam di satu majlis makan malam anjuran gereja itu.

"MAIS menyatakan bahawa siasatan terhadap kes berkenaan tidak dapat diteruskan kerana wujud tekanan dan campur tangan pihak ketiga.

"Oleh itu, Mais meminta Khalid samad dan mana-mana pihak lain supaya tidak mengganggu proses siasatan yang sedang berjalan," katanya lagi.

Mohamad Adzim juga mengesa Khalid Samad menyemak semula kesahihan fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang serbuan itu.

"Berkenaan kenyataan beliau bahawa kitab tersebut mempunyai cop pengesahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi penerbitan untuk orang Kristian dan ia bukan dirampas ketika cuba diedar kepada orang Melayu, MAIS ingin menegaskan kenyataan tersebut amat tidak bertanggungjawab kerana ia dibuat tanpa menyemak kesahihan dan kebenaran sesuatu fakta," katanya.