Dua murid Sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng di Sungkai, Perak yang didenda menjadi 'lembu' oleh guru Bahasa Inggeris minggu lalu, sudah kembali bersekolah.

Kedua-dua murid tahun empat sekolah tersebut dihantar ibu masing-masing jam 7.30 pagi semalam, laporan Berita Harian hari ini.

Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan Mohd Izat Iqbal didenda diberi rumput dan digantung loceng di leher pada minggu lalu kerana gagal menyiapkan kerja rumah bagi mata pelajaran bahasa Inggeris.

Dalam laporan itu menyebut, Siti Aisyah Hashim - ibu salah seorang pelajar - berkata anaknya keberatan pergi sekolah kerana masih bimbang dihukum lagi oleh gurunya.

"Saya terpaksa memujuknya dengan memberitahu jika dia mahu pandai dia perlu ke sekolah dan selepas itu baru dia mahu ke sekolah," katanya sambil menambah anaknya juga takut dipanggil 'lembu' oleh pelajar lain.

Bagaimanapun, seorang lagi ibu pelajar, Yarnis Kesuma Dewi Zainal Abidin gembira mengetahui guru Bahasa Inggeris sudah dipindahkan sekolah dengan serta merta.

"Tindakan itu baik kerana jika guru terbabit masih mengajar mungkin anak kami akan takut dan bertambah trauma.

"Saya harap kejadian ini dalam dijadikan pengajaran kepada semua golongan pendidik supaya tidak melakukan sesuatu yang melanggar peraturan," katanya seperti dilapor akhbar itu.