Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Peguam Negara (JPN) merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan peguam bukan Islam bertindak sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel lima anggota, meluluskan permohonan MAIWP dan JPN untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung perkara itu.

Peguam Ranjit Singh, yang mewakili peguam Victoria Jayaseele Martin dalam permohonannya agar diterima sebagai peguam syariah, tidak membantah kelulusan yang diberi kepada permohonan kebenaran itu.

Berikutan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan itu dan akan menetapkan tarikh untuk membuat keputusan sama ada peguam bukan Islam boleh bertindak sebagai peguam syarie di wilayah persekutuan.

Md Raus meluluskan permohonan itu berdasarkan satu persoalan undang-undang yang akan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Persoalan undang-undang berkenaan ialah "sama ada Peraturan 10 mengenai Peraturan-peraturan Peguam Syarie 1993 yang menetapkan bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie kerana peguam syarie adalah ultra vires dengan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993."

MAIWP dan JPN diberi masa 14 hari untuk memfailkan notis rayuan mereka.

Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon mestilah terlebih dahulu mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan, sebelum mengemukakan rayuan

kepada mahkamah tertinggi.

Dalam prosiding hari ini, Ranjit Singh, dan Datuk Sulaiman Abdullah, yang mewakili MAIWP, memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka bersetuju untuk menumpukan terhadap satu persoalan undang-undang sahaja, yang dikemukakan JPN, untuk dibuat keputusan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada 21 Jun 2013, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan membuat keputusan bersejarah bahawa peguam bukan Islam layak bertindak sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan, yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan ketika itu Datuk Seri Abu Samah Nordin (kini hakim Mahkamah Persekutuan), mengisytiharkan bahawa Peraturan 10 Peraturan-peraturan Peguam Syarie 1993, yang hanya membenarkan orang Islam diterima sebagai peguam syarie, adalah ultra vires dengan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan).

Victoria, 51, yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) pada 2004, memfailkan permohonan semakan semula kehakiman pada 2009 dengan menyatakan bahawa beliau memohon untuk diterima sebagai peguam syarie di wilayah persekutuan melalui sepucuk surat bertarikh 24 Ogos 2009.

Katanya permohonan itu ditolak Jawatankuasa Peguam Syarie, yang memaklumkan kepadanya melalui sepucuk surat bertarikh 9 Sept 2009, bahawa permohonannya tidak dapat diproses kerana syarat utama mengikut Peraturan-peraturan Peguam Syarie menyatakan bahawa seseorang yang ingin memohon dan menjadi peguam syarie di wilayah persekutuan mestilah beragama Islam.

Permohonan semakan semula kehakiman yang dikemukakannya ditolak Mahkamah Tinggi selepas memutuskan bahawa MAIWP mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menetapkan syarat berhubung penerimaan seseorang sebagai peguam syarie.

Victoria, yang beragama Kristian, kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan, yang membuat keputusan menyebelahinya.

- Bernama