Sekumpulan kira-kira 150 ahli NGO Melayu mengadakan protes di luar masjid Bayan Baru malam tadi kerana mengesyaki ada pihak-pihak tertentu merancang untuk "menyerang" masjid.

Difahamkan sepuluh buah NGO, termasuk Persatuan Belia Merong, Persatuan Mukabuku Pulau Pinang, Persatuan Kebajikan Insan Mulia, PERKASA, Skuad Rejam, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Al Ehsan, menyertai protes tersebut pada kira-kira 8 malam di luar masjid berkenaan.

Mereka mengutuk sepanduk memaparkan kalimah 'Allah' yang

ditemui di luar lima buah gereja di Pulau Pinang pada hari Ahad walaupun pihak gereja telah membuat laporan polis menafikan mereka bertanggungjawab terhadap sepanduk tersebut.

Dengan membawa sepanduk yang menegaskan hak eksklusif penggunaan kalimah 'Allah' oleh orang Islam, kumpulan tersebut kemudian berarak ke balai polis berdekatan Bayan Baru untuk membuat laporan berhubung perkara itu.

Gambar protes tersebut boleh didapati di blog dan Facebook tetapi tidak pasti siapakah penganjurnya atau sama ada pihak polis telah dimaklumkan mengenainya sepertimana yang

dikehendaki di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketika dihubungi, polis Bayan Baru mengesahkan bahawa laporan polis dibuat di balai itu malam tadi terhadap penggunaan perkataan kalimah 'Allah' dalam Bible bahasa Melayu .

Pegawai polis berkenaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan meminta supaya mendapatkan maklumat lanjut daripada Ketua Polis Negeri, Datuk  Abdul Rahim Hanafi pada sebelah pagi.

Protes itu diadakan sehari selepas lima sepanduk kontroversi dengan perkataan "Allah is great, Jesus is the son of Allah" ditemui di luar pintu lima buah gereja, termasuk sebuah di tanah besar pada hari Ahad.

Gereja-gereja berkenaan adalah Gereja Assumption di Jalan

Farquhar, Gereja St John Britto di Sungai Pinang, Gereja Immaculate Conception di Pulau Tikus,  Gereja Victory Lutheran di Island Glades  dan Gereja Nativity di Butterworth.

Beberapa jam selepas sepanduk ditemui, kira-kira jam 1.30 pagi, dua bom petrol dilemparkan ke dalam kawasan Gereja Assumption yang berusia 229 tahun.

Tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku tetapi Abdul Rahim berkata setakat ini, 16 laporan telah dibuat berhubung kejadian itu dan lapan individu disoal siasat oleh polis.

[Baca berita penuh]

Bom petrol dibaling di perkarangan gereja

Sepanduk 'Jesus anak Allah' dikesan di PP