Sekumpulan ahli Parlimen PKR dari Selangor, Pulau Pinang dan Sabah menyumbang RM14,000 kepada dana pembinaan pejabat baru Malaysiakini - semuanya kerana mereka 'ketagihkan' laporannya.

Mereka memuji portal ini, yang meraikan ulang tahun ke-15 November lalu, kerana sentiasa menghasilkan "berita yang pantas, bebas dan terbaik".

"Saya akui, ramai daripada kami semua 'ketagih' dengan Malaysiakini," kata MP Bayan Baru, Sim Tze Tzin sewaktu menyerahkan sumbangannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysiakini, Premesh Chandran semalam.

"Ia adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripadanya kerana kami menyokong berita yang benar-benar bebas.

"Kini ada banyak agensi berita tetapi tiada yang sekomited Malaysiakini terhadap kebebasan akhbar dan berita yang bebas.

"Saya tahu ramai yang berada di luar negeri yang mendapat berita lebih pantas daripada saya... saya rasa mereka juga ketagih... jadi saya gesa agar mereka juga turut menyumbang."

Sim, yang juga merupakan timbalan ketua penerangan PKR berkata beliau melobi rakan seangkatannya untuk menyokong kempen 'Beli

bata', yang mensasarkan untuk meraih RM3 juta untuk pejabat baru Malaysiakini di Petaling Jaya.

Ahli Parlimen dari Sabah, Darell Leiking (kiri) juga berkata yang beliau kerap  membaca laman berita ini.

"Saya berbangga dapat turut sama menyumbang kepada portal berita yang saya 'ketagih' terhadapnya untuk saban tahun lamanya.

"Saya tidak malu mengakui perkara ini kerana Malaysiakini konsisten. Sewaktu pilihan raya (umum), ia menyiarkan berita secara percuma untuk kita semua dan membolehkan ramai rakan-rakan kami membaca perkembangan terkini politik."

MP Penampang itu memberikan nasihat berikut kepada Malaysiakini: "Jangan pergi ke sebelah sana. Kekal berkecuali dan terus maju."

MP wangsa Maju Datuk Dr Tan Kee Kwong menggesa Malaysiakini supaya berjuang ke arah "sebuah negara yang adil dan lebih baik" walaupun sering berhadapan pelbagai cabaran.

Dr Tan (kanan) merujuk kepada tindakan pihak-pihak berkuasa terhadap kandungan Malaysiakini.

"Buat mereka yang mengemudi Malaysiakini, tolong teruskan perjuangan ini.

"Kami akan cuba yang terbaik untuk menyebarkan berita ini kepada rakan-rakan kami dalam sektor perniagaan agar mereka turut

bermurah hati dengan menyumbang untuk bangunan baru Malaysiakini," katanya.

Mohon sokong kebebasan akhbar juga

Menyumbang RM1,000 tiap seorang ialah ahli Parlimen PKR dari Wangsa Maju, Petaling Jaya Selatan, Kuala Kedah, Bayan Baru, Batu, Subang, Ampang, Kapar, Teluk Kemang dan Alor Setar.

Sementara mereka yang masing-masing menyumbang RM500 adalah dari Lembah Pantai, Sungai Petani, Pandan, Penampang, Padang Serai, Kuantan, Kelana Jaya dan Batu Pahat.

Hujung tahun lalu, ahli-ahli Parlimen DAP memberli 40 ketul bata dengan harga keseluruhan RM40,000.

"Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada MP yang tampil menyokong projek ini. Namun, kami masih mengharap agar MP dari kedua-dua belah pihak turut sama menyumbang ke arah kebebasan akhbar," kata pengurus projek Malaysiakini, Lynn D'Cruz.

Sejak kempen meraih dana awam ini dilancarkan pada 15 November

tahun lepas, sebanyak RM1.2 juta telah berjaya dikumpul daripada sumbangan penyokong Malaysiakini.

Mereka yang berminat untuk menyumbang boleh membeli bata edisi terhad dan mengukir nama mereka di atasnya dengan sumbangan sebanyak RM1,000.

Kini hanya kira-kira 300 biji bata sahaja lagi masih tinggal untuk direbut, daripada 1000 biji yang ditawarkan untuk sumbangan.

Bata ini kemudian akan diguna untuk membina 'Tembok Penghargaan' dalam bangunan baru Malaysiakini yang dinamakan @Kini.

Sebahagian daripada premis Malaysiakini kelak akan dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Sila klik di sini untuk maklumat lanjut tentang cara menyampaikan sumbangan. (building.malaysiakini.com)