Penyokong berhimpun bantah Taib berundur
Menjelang mesyuarat Majlis Tertinggi PBB yang dinanti-nantikan di mana Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dispekulasi akan mengumumkan mengundurkan diri, para penyokong berhimpun hari ini membantahnya.
Seramai 100 ahli Angkatan Warisan Anak Sarawak, sebuah
organisasi yang menyokong parti pemerintah PBB, berhimpun di pintu masuk ibupejabat parti itu di Petra Jaya dan membawa kain rentang dengan slogan menyokong supaya Abdul Taib terus menjadi ketua menteri.
Taib tiba pada jam 10.06 pagi dalam kereta Rolls Royce, dengan tepukan penyokongnya serta disambut oleh pemimpin tertinggi parti.
Spekulasi bertiup kencang bahawa tokoh politik berusia 77
tahun itu, yang berkhidmat sebagai ketua menteri Sarawak genap selama 33 tahun bulan depan, merancang untuk mengumumkan beberapa bentuk peralihan dalam mesyuarat tertutup hari ini.
Kumpulan wartawan berkumpul di luar ibu pejabat PBB menunggu sebarang pengumuman penting berkaitan dengannya.
Orang kuat parti itu enggan bercakap ketika mereka tiba di ibupejabat parti, dan masih tidak jelas berapa banyak maklumat akan diumumkan hari ini kerana satu mesyuarat dengan kepimpinan BN Sarawak dijadualkan diadakan esok.
Spekulasi mengenai pengunduran Taib diperkuatkan lagi
dengan hakikat bahawa penggal Yang Dipertua Negeri Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng (kiri) akan dilanjutkan walaupun usianya masuk 92 tahun, tetapi sehingga 28 Februari sahaja.
Ekoran mesyuarat hujung minggu, timbul desas-desus yang mengatakan Taib akan mengisi jawatan yang dipertua negeri Sarawak.
Bagaimanapun, sumber-sumber lain berkata khabar angin mengenai pengunduran Taib, yang pertama kali dilaporkan akhbar Berita Harian , dirancang oleh Putrajaya dalam usaha untuk memberi tekanan kepada ahli politik veteran itu.
Semasa pilihan raya negeri Sarawak pada 2011, Taib telah membayangkan bahawa beliau akan berundur dalam dua hingga tiga tahun.

