Rafizi: Selesaikan krisis air, SYABAS
Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) didakwa berpeluk tubuh dan hanya berharap cuaca akan menyelesaikan masalah kekurangan air di Selangor.
Perkara itu hari ini disifatkan sebagai “helah politik berterusan” terhadap Pakatan Rakyat.
Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata, keadaan yang berlaku kelihatan seolah-olah masalah itu menjadi serius ekoran “serangan dalam bentuk gangguan air”.
“Tetapi setiap kali kita meneliti masalahnya, kita dapati ia disebabkan oleh kelemahan SYABAS, yang enggan menjadi proaktif membantu rakyat dan hanya menyalahkan alam semula jadi,” kata Rafizi.
Bercakap dalam sidang media di Kajang hari ini, beliau membangkitkan masalah kekurangan air di Balakong, Cheras dan Pandan yang dianggap SYABAS disebabkan cuaca kering.

