2 karya seni cetus respon negatif, provokatif
Dua buah karya seni Cheng Yen Pheng dan Izat Arif Saiful Bahri yang diturunkan dari pameran sempena Pertandingan Bakat Muda Sezaman minggu lalu, disebabkan "menerima maklum balas yang negatif dan provokatif" sejak dipamerkan pada 28 Oktober lalu.
Pameran yang dianjurkan Balai Seni Lukis Negara (BSVN) itu akan tamat pada 3 Mac depan yang melibatkan dua tahap penjurian.
"Karya-karya tersebut dilihat boleh mencetuskan impak yang tidak sihat dan tidak tenteram kepada khalayak dan BSVN berkeputusan untuk menurunkan karya-karya tersebut sehingga tamat tempoh pameran," kata agensi itu.
Dalam satu kenyataan oleh bahagian komunikasi korporat BSVN berkata keputusan itu dibuat mengikut prosedur dan syarat penyertaan telah ditandatangani peserta berdasarkan klausa yang ditetapkan.
Klausa itu menyebut penganjur berhak menolak karya yang tidak seperti dicadangkan dalam tahap 1 penjurian.
Manakala karya yang terpilih ke tahap 2 penjurian tidak semestinya akan dipamerkan kerana pameran itu akan menggunakan konsep kurtorial dan kurator bertanggjawab berhak untuk tidak mempamerkan karya itu.
Sehubungan itu, kenyataan itu berkata ketua juri dan urusetia telah memaklumkan risiko karya akan diturunkan dari pameran semasa penjurian peringkat akhir kepada Cheng dan Izat.
"Dan mereka telah pun mengambil maklum dan berpuas hati dengan penjelasan dari BSVN yang telah diperjelaskan sebelum hari pengumuman pemenang pertandingan," kata kenyataan itu.

