MCA: Chew seorang yang berpegang pada janji
Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong parti itu memilih Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon pilihan raya kecil Kajang kerana beliau sangat berbeza dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wee membidas Anwar yang menurutnya telah berkata akan bersara jika Pakatan Rakyat gagal menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum lepas, tetapi tidak berbuat demikian, sedangkan Chew telah menunjukkan sebaliknya.
"Kita letak Chew kerana personaliti beliau sangat berbeza dengan Anwar.
"Jika Anwar cakap beliau tidak akan bertanding, esok dia akan bertanding tetapi Chew kata, dia akan letak jawatan, beliau akan melakukannya walaupun ianya jawatan menteri.
"Inilah seorang pemimpin yang buat seperti yang dijanjikan, bukan pemimpin yang buat tak serupa bikin," kata Wee (kiri) kepada wartawan selepas mengiringi Chew membuat tinjauan mesra di bandar Kajang petang tadi.
Chew meletak jawatan sebagai ketua MCA Wanita dan sebagai timbalan menteri pada 2010 selepas berjanji untuk berbuat demikian sekiranya Datuk Seri Chua Soi Lek menjadi presiden parti, ekoran skandal seksnya.
Beliau kemudiannya terpilih semula sebagai naib presiden MCA selepas Chua melepaskan jawatannya tahun lalu.
Wee juga menafikan dakwaan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bahawa MCA meletakkan seorang wanita sebagai 'kambing hitam' di kerusi yang sukar untuk menang.
"Kalau begitu, maka dia perlu bertanya mengapa PKR tidak meletakkan wanita (sebagai calon), bukankah itu peranan seorang Ketua Wanita?" tanya Wee.
'Pengiktirafan terhadap wanita'
Chew juga mengulas kenyataan Zuraida itu dengan berkata pencalonannya sebenarnya adalah satu pengiktirafan terhadap keupayaan wanita untuk menghadapi cabaran yang sukar.
Beliau berkata, memberinya peluang untuk berdepan dengan 'gergasi seperti lawannya' itu adalah satu tanda penghormatan terhadap wanita.
Apabila diminta mengulas mengenai larangan terhadap empat media online daripada membuat liputan pengumuman pencalonannya di ibu pejabat BN semalam, Chew (kanan dalam gambar) berkata beliau tidak tahu mengenainya kerana beliau sendiri ada bercakap dengan media online di sana.
"Saya tidak tahu mengenainya (larangan itu), tapi saya ditemubual oleh Malaysiakini di lobi," katanya.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai - yang turut hadir - menafikan parti itu telah berkempen sebelum hari penamaan calon.
"Kami belum mula kempen, kami perlu buat persiapan di setiap stesen mengundi untuk menyemarakkan semangat (penyokong)," katanya.

