Tian Chua intai kerusi timbalan presiden PKR
MP Batu Tian Chua mengesahkan beliau sedang mempertimbangkan peluang untuk turut sama merebut jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti itu menjelang bulan depan.
Naib presiden PKR itu mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
“Ya, inilah yang saya kata tetapi kami akan hanya memutuskan butirannya selepas pilihan raya kecil DUN Kajang,” katanya.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh bahawa beliau sedang mempertimbangkan perkara itu.
Ia timbul susulan pengumuman Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim untuk bertanding jawatan berkenaan.
Khalid berkata, beliau akan menjelaskan hasrat tersebut selepas pilihan raya kecil Kajang, 23 Mac.
Penyandang kerusi tersebut, Azmin Ali juga enggan mengesahkan sekiranya akan mempertahankan jawatan berkenaan selepas pilihan raya kecil tersebut.
Pemilihan parti PKR akan berlangsung secara berperingkat-peringkat bermula 25 April sehingga 11 Mei.
Proses penamaan calon untuk jawatankuasa induk parti akan berlangsung pada 29 Mac.

