Jerebu makin pulih setakat 7 pagi
Fenomena jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini semakin pulih apabila tiada kawasan yang mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 7 pagi ini.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU merekodkan 28 kawasan sebagai sederhana manakala 23 kawasan lagi baik.
Indeks di Banting, Selangor menurun kepada bacaan sederhana iaitu 74 berbanding tidak sihat (114) setakat 5 petang semalam.
Nilai di Negeri Sembilan yang mencatat bacaan tidak sihat setakat 5 petang semalam dengan IPU 114, pagi ini mencatat IPU 82 sebagai sederhana.
Bacaan sederhana turut dicatat di Petaling Jaya, Selangor dengan bacaan 60 berbanding 101 pada 5 petang semalam.
Kawasan Batu Muda di Kuala Lumpur mencatat bacaan 84 berbanding 104 pada 5 petang semalam.
IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my kendalian JAS untuk mengetahui bacaan IPU di kawasan mereka.
- Bernama

