MMA: Bayaran Perubatan tak naik 12 tahun
Walaupun kritikan masih timbul berkenaan jadual baru bayaran perubatan di sektor kesihatan swasta, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata hal ini sepatutnya sudah lama dilakukan kerana harganya tidak naik selama 12 tahun.
"Tiada langsung peningkatan walaupun jadual bayaran itu sepatutnya disemak setiap 5 tahun. Semakan terakhir adalah pada 2002, iaitu 12 tahun lalu," kata Presiden MMA NKS Tharmaseelan kepada Malaysiakini .
Tharmaseelan berkata kenaikan yang 14.5 peratus untuk bayaran perubatan yang dibenarkan masih ketinggalan di belakang Indeks Harga Pengguna (IHP).
"Walaupun kami menerima yuran yang dikenakan dan sebagai doktor, kami meletakkan perkhidmatan sebelum diri mengikut Sumpah Hippocrates, peningkatan itu tidak setimpal dengan kenaikan kumulatif IHP, ia juga tidak mencerminkan inflasi sejak tahun 2002," katanya.
"Bagaimanapun adalah sedih kerana walaupun harga barangan dan perkhidmatan di mana-mana meningkat, profesion perubatan merupakan satu-satunya profesion yang bayarannya diletakkan di bawah IHP," tambah beliau.
Indeks harga pengguna atau IHP merupakan kaedah yang digunakan untuk mengukur atau menentukan kadar inflasi.
IHP diukur dengan membandingkan purata harga barangan dan perkhidmatan pada tahun asas dengan purata harga barang bagi tahun semasa.

