'Jangan jadikan wartawan arus perdana 'musuh'
Perikatan longgar wartawan Gerakan Media Marah (Geramm) menggesa Pakatan Rakyat agar tidak menganggap wartawan dari media arus perdana sebagai 'musuh' mereka.
Aktivis Geramm, Radzi Razak menjelaskan bahawa wartawan tidak memilih-milih dalam membuat laporan berita kerana mereka sebenarnya hanya menjelaskan tugas membuat liputan berita dengan dipacu oleh idealisme dan etika kewartawanan.
"Saya pernah lihat wartawan Media Prima yang suka dengan pemimpin Pakatan kerana dia bergaul dengan baik.
"Tetapi saya juga pernah lihat ada yang menangis kerana mereka dianggap seperti musuh," katanya yang kini bertugas di meja bahasa Melayu Malaysiakini.
Tegasnya, Geramm mahu Pakatan Rakyat tidak lagi mendiskriminasikan mana-mana media sama ada dari arus perdana atau portal berita.
"Geramm tak mahu bermusuh dengan mana-mana parti politik sebab itu kami terima jemputan untuk berada di sini.
"Kami mahu akses media lebih adil kepada semua media yang terlibat," katanya.
Tegas Radzi, ahli politik mempunyai pilihan untuk tidak menjawab soalan-soalan yang kurang disenangi, dan bukannya mengambil tindakan menghalang liputan berita daripada organisasi berita yang diwakili wartawan itu.
"Semua media perlu diberi hak untuk bertanyakan soalan dan ahli politik mempunyai hak untuk tidak menjawab soalan.
"Jadi kami harap Pakatan Rakyat dapat memantau usaha ini dan kami akan menuntut sekiranya ada kerajaan negeri (Pakatan) yang cuba menggumam media," katanya.
Geramm mula bergerak aktif sewaktu membantah penggantungan permit penerbitan akhbar mingguan The Heat oleh Kementerian Dalam Negeri.
Geramm melancarkan protes 'pensil merah' dan memakai baju merah sebagai tanda protes kepada tindakan tersebut.

