Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga pengerusi kumpulan modal perdana dalam pesawat

Isteri dan anak pengerusi Kumpulan Modal Perdana Datuk Mohamed Ramli Abbas merupakan antara 239 penumpang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal hari ini.

Adik ipar Mohamed Ramli, Salmy Hashim berkata isteri bekas Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datin Biby Nazli Mohd Hassim bersama dua anak perempuan mereka Maria dan Dina telah menaiki pesawat itu untuk ke Beijing.

    

Salmy yang merupakan pemberita sambilan Bernama di Washington, Amerika Syarikat memberitahu Bernama turut serta bersama Biby dan keluarganya adalah adik mereka Noorida.

    

Pesawat MH370 itu hilang daripada radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi tadi menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi waktu tempatan.

    

Sementara itu, Nur Afizan Ayob, 30, berkata abang iparnya Junaidi Mohd Kassim, 37, berkhidmat sebagai kru penerbangan MAS hampir 15 tahun, mempunyai dua anak masing-masing berusia 11 dan sembilan tahun hasil perkahwinan dengan kakaknya Nur Azlinda.

    

Beliau berkata akhir-akhir ini abang iparnya yang dikenali dengan sikap tegas agak berubah ketika kali terakhir beliau bertemu dengan keluarganya di Kelana Jaya semalam.

    

Junaidi memaklumkan beliau akan kembali ke tanahair Isnin ini, dan akan memasukkan duit ke dalam akaun Tabung Haji ibu mertuanya, katanya kepada pemberita ketika ditemui di Anjung Tinjau KLIA, tempat berkumpul keluarga penumpang pesawat itu.

    

Seorang surirumah, Kesumawati Nordin memberitahu Bernama sepupunya Norli Akmar Hamid turut berada di dalam pesawat itu untuk bercuti ke Beijing bersama suaminya Muhammad Razahan Zamani yang dikahwininya setahun yang lepas.

    

Majikan Norli yang enggan dikenali pula berkata Norli merupakan pekerja yang rajin, mengambil cuti selama dua minggu sejak 27 Februari lepas untuk ke Beijing.

    

Sementara itu seorang pemandu lori P. Siva Subramanian, 33, berkata bapa saudaranya, S. Puspanathan, 34, menaiki pesawat itu untuk ke China atas urusan kerja.

    

"Bapa saudara saya bekerja di Petronas dan menaiki pesawat MAS malam tadi dan saya amat terkejut apabila keluarga saya memberitahu perkara ini kepada saya.

    

"Saya harap dia selamat dan dapat bertemu semula dengan dia," katanya ketika ditemui pemberita.

    

Siva Subramanian berkata bapa saudaranya mempunyai seorang isteri dan dua anak lelaki masing-masing berusia empat tahun dan sembilan bulan.

    

Exco Kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu Tian Khiew berkata rakan sekolahnya Wong Sai Sang, 53, adalah antara penumpang pesawat itu.

   

"Semalam saya baru mengucapkan selamat hari lahir kepada Wong melalui Facebook beliau," katanya.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS