Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menolak teori kehilangan pesawat MH370 didalangi kumpulan pengganas dari China.

Hishammuddin ( kanan ) berkata 'surat terbuka' yang dihantar satu kumpulan yang menggelar diri mereka Briged Syahid China kepada wartawan dan blogger di negara tembok besar itu semalam, tidak mempunyai bukti kukuh.

"Saya fikir tiada dasar kukuh untuk buktikan perkara itu benar," kata beliau dalam sidang media di Hotel Sama Sama, Putrajaya petang tadi.

Kumpulan itu mendakwa mereka merupakan penentang dari minoriti Uighur yang beragama Islam, mendapat perhatian apabila beberapa wartawan dan blogger menerima surat dalam format PDF melalui emel mereka semalam.

Hishammuddin juga berkata Malaysia bekerjasama dengan pelbagai agensi antarabangsa bagi mengenalpasti dan mengesahkan semua maklumat atau dakwaan berkaitan penerbangan malang itu.

Katanya, ia bertujuan bagi memastikan fokus siasatan tidak terganggu sehingga boleh menjejaskan ahli keluarga penumpang yang terlibat.

Beliau yang juga menteri pertahanan menolak dakwaan bahawa kerajaan China 'tidak berpuas hati' dengan cara Malaysia menangani perkara itu.

Dalam pertemuan dengan delegasi dari negara itu, Hishammuddin berkata beliau memberi jaminan Malaysia melakukan kerja dengan baik dan mereka membiarkan Malaysia mengetuai operasi mencari dan menyelamat.

"Saya dah bertemu delegasi China, menteri dan ahli parti (komunis) China. Mereka tiada masalah dan datang untuk membantu kita atas permintaan," kata beliau.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan sebuah akhbar yang rapat dengan pemimpin China membidas Malaysia ekoran kehilangan pesawat MH370, dan menegas Malaysia tak boleh lari tanggungjawab serta perlu membekalkan maklumat terkini kehilangan kapal terbang itu.

Dalam lidah pengarang akhbar itu hari ini, Global Times melaporkan kehilangan pesawat "harus disiasat dengan teliti dan pokok masalahnya perlu dipertanggungjawabkan kepada Malaysia.