Kapal asing ditahan berlabuh haram di Pontian
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua buah kapal asing yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai dan perairan Pulau Kukup, Pontian, baru-baru ini.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Johor Baharu Kapten Maritim Aminuddin Abd Rashid berkata sebuah kapal ditahan pada 6 Mac dan sebuah kapal lagi semalam.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dari Pengarah Laut untuk bersauh dalam perairan Malaysia.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati kapal berkenaan dipercayai melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu berlabuh tanpa kebenaran dan gagal membayar dius api, kata beliau.
“Ketua jurutera dan dua kru bagi kedua-dua kapal ditahan dan dibawa ke ibu pejabat APMM Wilayah Selatan di Johor Bahru untuk siasatan lanjut,” kata beliau dalam satu kenyataan di Johor Baharu hari ini.
Dalam kejadian 6 Mac itu, kapal MV Stadt Marburg dikesan di kedudukan 1.5 batu nautika barat daya Tanjung Piai, manakala kapal MT Ocean Accord dikesan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 2.6 batu nautika Tenggara Pulau Kukup, Johor.
Aminuddin berkata kapal pertama yang ditahan didaftarkan di Antigua & Barbuda dan membawa 21 kru terdiri daripada empat warganegara Ukraine dan 17 warganegara Filipina, berumur di antara 20 hingga 59 tahun.
Kapal kedua didaftarkan di Panama dan membawa 22 kru terdiri daripada 16 warganegara Filipina dan lima warganegara Korea Selatan, berumur antara 25 hingga 52 tahun.
Beliau berkata pemilik kapal boleh didakwa di bawah seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Seksyen 3, Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu berlabuh di kawasan yang tidak dibenarkan, bersauh tanpa kebenaran dari Pengarah Jabatan Laut dan gagal membayar Dius Api.
Jika didapati bersalah, pemilik kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
- Bernama

