Thai wujud pangkalan data pasport hilang
Pihak berkuasa Thailand akan mewujudkan pangkalan data mengenai kehilangan pasport pelancong bagi menangani isu keselamatan berikutan pendedahan bahawa dua penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, menggunakan pasport yang dicuri di negara ini.
"Saya akan kemukakan syor mengenai penubuhan pangkalan data mengenai kehilangan pasport ini kepada Ketua Polis Nasional Diraja Thailand Jen Adul Saengsingkaew," kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Surapong Tovichakchaikul kepada media di Pusat Pemeliharaan Keamanan dan Ketenteraman Awam (CMPO) di Bangkok hari ini.
Beliau berkata penubuhan pangkalan data itu akan memudahkan urusan penyampaian maklumat tentang pelancong yang kehilangan pasport ketika berada di Thailand kepada Interpol.
Ini akan membolehkan Interpol menjalankan penyiasatan terhadap kes kehilangan pasport di negara ini, katanya.
Thailand menjadi perhatian ramai berikutan tersebarnya berita bahawa dua penumpang penerbangan MH370 yang hilang daripada radar pada pukul 1.30 pagi Sabtu membeli tiket dengan menggunakan pasport yang dicuri di Thailand.
Surapong bagaimanapun berpendapat kes kecurian pasport itu tidak akan menjejaskan imej Thailand sebagai destinasi pelancongan popular.
Beliau menasihati semua pihak supaya tidak membuat andaian bahawa kehilangan pesawat berkenaan mempunyai kaitan dengan tindakan keganasan dan sebaliknya menunggu hasil siasatan mengenainya.
Sementara itu, Surapong mengutuskan ucapan simpati kepada Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman melalui telefon berhubung insiden penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Beliau berkata kerajaan Thailand sedia memberi sokongan dan bantuan untuk membantu mencari pesawat itu.
- Bernama

