PM: Kerjasama dengan Pakatan bukti rekonsiliasi
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gembira dengan langkah kerjasama serta pertemuan di antara pentadbir kerajaan pusat dan tiga negeri Pakatan yang dilihatnya sebagai bukti jiwa besar kerajaan dalam melaksanakan rekonsiliasi nasional.
Dalam jawapan bertulisnya di Parlimen, Najib berkata ia tergambar dalam pertemuan dengan menteri besar dan pimpinan kerajaan negeri Kelantan bagi meneroka kerjasama untuk membangunkan negeri itu.
Selain itu, kesungguhan itu turut dilihat dalam perjanjian persefahaman penstrukturan air dengan Selangor.
"Malah baru-baru ini kerajaan merasmikan projek jambatan kedua Pulau Pinang, yang kemudiannya diumumkan sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
"Inisiatif ini dimulakan oleh kerajaan Persekutuan, walaupun Pulau Pinang ditadbir pembangkang.
"Jelasnya, kita adalah kerajaan yang walk the talk (mengotakan kata) dan berjiwa besar," jawapan Najib dipetik.
Beliau menjawab soalan bertulis Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang memintanya menjelaskan lebih lanjut mengenai model dan terma yang mahu dicadangkan kerajaan berkaitan untuk mencapai “perdamaian kebangsaan” itu.
Dalam jawapannya itu, Najib menegaskan bahawa kerajaan berazam untuk terus terlibat dalam pelan perdamaian tersebut.
“Kita mesti bangkit menghadapi politik kepartian, mengenepikan perbezaan ideologi, melakukan apa yang terbaik untuk rakyat dengan meletakkan usaha pembangunan dan pembinaan negara sebagai agenda teras utama," jawapan Najib dipetik.
Kenyataannya itu muncul selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menarik balik tawaran untuk mengadakan Konsensus Nasional.
Anwar menarik balik tawaran tersebut ekoran keputusan mahkamah yang tidak memihak padanya dalam kes Liwat II.
Selain mengisytiharkan “perang dasar” kepada pemimpin BN yang didakwa menyalahgunakan kuasa, ketua umum PKR itu juga mendakwa badan kehakiman diperalatkan.

