MB: WSIA kurangkan RM2j bayar firma konsesi
Kerajaan Selangor mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kerana bersetuju memudah cara penstrukturan semula industri air negeri selepas respons negatif syarikat konsesi terhadap tawaran pengambilalihan oleh kerajaan negeri.
Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, syarikat konsesi berkenaan sekarang tertakluk kepada Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006).
"Ini akan memberi impak positif terhadap kerajaan negeri dan rakyat Selangor kerana bayaran keseluruhan kepada syarikat konsesi dijangka akan berkurangan sebanyak RM2 bilion berbanding dengan tawaran sebelum ini bernilai RM9.65 bilion," katanya dalam satu kenyataan.
Kerajaan negeri, tambahnya, akan memastikan penjimatan ini akan digunakan sebaiknya untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan air kepada lebih tujuh juta pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Objektif utama kami adalah untuk mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) dengan pelbagai usaha termasuk pelaksanaan daerah zon bermeter (DMZ)/ kawasan daerah bermeter (DMA), pengurusan meter bersepadu, penggantian paip yang sedia ada dengan gentian optik dan penubuhan Radar Penembusan Tanah (GPR) untuk mengesan kebocoran dalam sistem pengagihan bawah tanah.
"Kami juga berbesar hati mengumumkan deklasifikasi Perjanjian Persefahaman (MOU) yang dimeterai antara kerajaan negeri dan persekutuan pada 26 Februari sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pagi ini.
"Kini, MOU ini di bawah tanggungjawab Dewan Negeri Selangor yang mana orang awam yang berminat untuk meneliti dokumen itu boleh membuat permohonan sejajar dengan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI). Bagaimanapun, MOU ini tidak boleh diterbitkan semula dalam apa jua bentuk," kata menteri besar.
Katanya, dalam pertemuan dengan menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili semalam, beliau juga telah memberi jaminan bahawa projek mitigasi untuk memastikan bekalan air terawat tanpa gangguan akan dilaksanakan.
"Majlis pecah tanah bagi projek Hybrid off River Augmentation System (HORAS) 600 akan berlangsung pada hari Sabtu ini di Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor," katanya.
Majlis tersebut, tambahnya, menandakan bermulanya projek ini yang dijangka siap Julai 2015.
"Kerajaan negeri yakin bahawa kerjasama dengan kerajaan persekutuan ini akan memastikan penstrukturan semula industri air berjaya.
"Pada masa yang sama, kami seikhlasnya berharap rakyat terus bersabar dan berjimat cermat menggunakan air sementara menanti perkhidmatan air dipertingkatkan," tambahnya.

