Isu kesesakan, PKR akhirnya insaf, kata Wee
Timbalan President MCA, Datuk Wee Ka Siong berkata PKR akhirnya insaf berkenaan isu kesesakan lalulintas di Kajang.
Katanya, ia berpunca dari kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu sendiri.
"Sebenarnya sejak mengambil alih (kerajaan negeri) pada 2008, Kajang merupakan pekan pesat dibangunkan.
"Dalam memberi kelulusan pembangunan satu perkara yang tidak dipeduli adalah sistem trafik dan jalan, ini menyumbang pada kesesakan
"Akhirnya mereka insaf dan mereka tidak boleh lari daripada tanggungjawab bahawa sejak enam tahun ini mereka tidak melakukan apa-apa," kata Wee ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi Kampung Sungai Chua hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada manifesto Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil (PRK) Kajang yang dilancarkan hari ini.
Calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melancarkan Manifesto Kajang yang meliputi pembangunan anak muda dan usahawan kecil, menangani masalah kesesakan lalulintas, membanteras jenayah, meningkatkan keselamatan dan pembangunan serta penyenggaraan perbandaran.
Wee turut mempersoalkan janji-janji yang dihamburkan Pakatan yang gagal ditunaikan mereka sebelum ini.
Beliau hairan mengapa kerajaan negeri sebelum ini meminggirkan Kajang dan mempunyai ADUN yang 'tak nampak muka' sehingga terpaksa melakukan 'langkah Kajang'.
"Kenapa kerajaan Selangor boleh menggunakan wang rakyat membina jejambat di i-city tapi tidak membangunkan jalan di Kajang?
"Saya cuma nak ingatkan kepada Pakatan apa yang mereka cakap dalam manifesto yang kononnya janji tidak dikotakan," katanya.
Wee hari ini mengiringi calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun kebeberapa kawasan di Kajang untuk bertemu pengundi terutamanya di kawasan majoriti Cina.
BN hari ini melancarkan beberapa pentas mudah alih untuk tujuan berkempen kepada penduduk sekitar.
Dirasmikan Ketua Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan, pentas itu mampu menampung berat sehingga 100 tan dan bernilai lebih setengah juta ringgit.

