NGO hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) cawangan Pulau Pinang mengumumkan bahawa acara Pink Dot Penang 2014 dibatalkan demi keselamatan peribadi penganjur dan para peserta.

Satu kenyataan Suaram Pulau Pinang menyebut, keputusan itu diambil selepas mengambil kira bantahan oleh pihak yang menyifatkan acara pada 29 Mac tersebut sebagai “pesta seks”.

Dalam kenyataan tersebut, NGO itu menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan ia merupakan acara sosial terbuka untuk masyarakat minoriti bertemu dan berinteraksi.

"Acara ini bukan satu parti seks seperti yang didakwa oleh segelintir kumpulan. Itu adalah fitnah semata-mata.

"Suaram Pulau Pinang mengumumkan pembatalan acara ini selepas mengambil kira pandangan pelbagai organisasi yang lain dan juga selepas mengambil kira keselamatan peribadi pihak penganjur dan peserta-peserta.

Pink Dot Penang 2014 pada asalnya dianjurkan oleh Suaram, Penang Freedom to Love dan Rainbow Connection dan akan berlangsung pada 29 Mac ini di Hotel Heritage 1926 dan Yard Cafe, Jalan Masjid Kapitan Keling.

Peserta dikenakan bayaran di antara RM45 hingga RM50 untuk menyertai satu bengkel mengenai hak asasi dan satu parti pada sebelah malamnya.

Acara itu mendapat tentangan daripada Angkatan Belia Islam Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia, dan Pemuda PAS, antara lainnya kerana meraikan kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender.