Telefon pemimpin PKR digodam
KAJANG Tiga pemimpin tinggi PKR mendakwa nombor telefon bimbit mereka telah "dirampas" baru-baru ini untuk menghantar SMS ketika pemimpin parti itu sibuk berkempen untuk pilihan raya kecil Kajang.
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Naib Presiden Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar membuat dakwaan itu hari ini dalam kenyataan yang membayangkan perbuatan itu dilakukan untuk melaga-lagakan parti-parti komponen Pakatan, terutamanya PKR dan PAS.
Pejabat Nurul Izzah, dalam satu kenyataan hari ini, berkata perbuatan
itu bertujuan mewujudkan kecelaruan di dalam barisan jentera parti pembangkang.
Menurutnya, identiti pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu masih lagi belum diketahui.
Tidak lama selepas itu, Tian Chua menghantar tweet menafikan beliau telah dihantar SMS untuk mencetuskan pergeseran antara jentera pilihan raya PKR dan PAS.
Beliau mendakwa ianya adalah taktik kotor BN.
Ini diikuti oleh pejabat Azmin yang mendawa perbuatan itu dipercayai bertujuan untuk "memecahbelahkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat", sambil menambah "tindakan segera sedang diambil".
Ini bukan kali pertama pilihan raya dicemari dengan dakwaan nombor telefon bimbit pemimpin digodam.
Dalam pilihan raya kecil DUN Sungai Limau November tahun lepas, balu bekas menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak, Faekah Sheikh Hamzah berkata nombornya telah digodam dan digunakan untuk menghantar SMS menggesa orang ramai supaya menyokong BN.
Bagaimanapun, PAS berjaya mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dalam pilihan raya kecil yang diadakan ekoran kematian Azizan.
Kempen bagi pilihan raya kecil Kajang sudah masuk ke hari keempat hari ini. Pengundan akan berlangsung pada 23 Mac.

