Dua kritikal, 6 cedera letupan kilang di Serian
Dua kritikal dan enam lagi cedera ringan apabila sebuah kilang memproses gas accetylene di sini, terbakar dan meletup kira-kira pukul 4 petang tadi.
Letupan itu mengakibatkan struktur bangunan kilang berkenaan runtuh dan terbakar.
Petugas Balai Bomba dan Penyelamat Serian berkata setakat 9 malam ini, lapan pekerja terbabit telah dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Serian untuk awatan.
"Dua daripadanya kritikal manakala enam orang hanya mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Beliau berkata kebakaran sudah dipadamkan sepenuh tetapi usaha sedang dilakukan untuk mencari pekerja yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan.
Katanya kejadian itu turut menyebabkan cermin beberapa bangunan berhampiran termasuk stesen minyak Petronas mengalami kerosakan, selain kerosakan beberapa buah kereta.
- Bernama

