PKR: Sokongan Melayu naik 8% di Kajang
PKR mendakwa telah mendapat sokongan 65 peratus dari penduduk Kajang selepas berkempen selama beberapa minggu.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR untuk DUN Kajang Zuraidah Kamaruddin ( kiri ) berkata, data yang daripada pejabat daerah pengundi mereka menunjukkan peningkatan sokongan Melayu berbanding pada 2013.
Zuraidah berkata, sokongan Melayu kini di peringkat 45 peratus, Cina di peringkat 65 peratus manakala kaum India pula 55 peratus.
"Sokongan kaum Melayu kini meningkat lapan peratus berbanding tahun 2013.
“Tetapi sasaran kita adalah 60 peratus, yang perlu ditingkatkan pada minggu terakhir ini," kata beliau pada sidang media di Kajang hari ini.
Zuraidah bagaimanapun yakin sentimen akan memihak kepada Pakatan atas dasar kerja keras ahli PKR, DAP dan PAS bila tiba tarikh pengundian 23 Mac depan.
PKR mula melakukan kempen tidak rasmi selepas peletakan jawatan ADUN sebelum ini, Lee Chin Cheh untuk memberi laluan kepada ketua umum parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun 'Langkah Kajang' dilihat terjejas selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar dua hari sebelum penamaan calon.
Zuraidah berkata tumpuan PKR sepanjang tempoh berkempen adalah sama kepada semua kaum dan ia dilahirkan oleh calon terkini Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
"Umno kata kita cakap lain kepada kaum lain. Ini ibarat mengata dulang paku serpih.
"Kami (Pakatan) amat jelas dalam kempen. Kami berkata fakta dan tidak sewenang-wenangnya bercakap mengenai integriti dan kredibiliti. Kami tunjukkannya," kata beliau.
Mat Taib akui sukar
Sementara itu Timbalan Ketua Penerangan PAS Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ( kanan ) yang kini bekerja di lapangan untuk meningkatkan sokongan orang Melayu mengaku sukar untuk mengubah pendirian mereka yang sudah berusia.
Beliau mendakwa, permainan wang bantuan yang disalurkan oleh kerajaan turut menjadi satu batu penghalang untuk mendekatkan diri kepada pengundi Melayu.
"Dalam pilihan raya, mereka (Umno) akan datang dan bagi duit peruntukan sana sini.
“Kita kena terangkan apa yang sepatutnya dilakukan untuk berdepan dengan kumpulan yang cuma suka bermewah, " kata beliau yang juga bekas menteri besar Selangor selama 11 tahun.

