BN akui bersaing rapat undi belia Melayu
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata, BN dan Pakatan Rakyat kini masing-masing bersaing sengit untuk memenangi undi belia Melayu,
Ini ekoran golongan itu dilihat sebagai “faktor besar” dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam persaingan satu lawan satu calonnya dengan PKR.
"Tumpuan kita adalah menjaga pengundi sedia ada dan kita juga tumpu pengundi muda.
"Sokongan golongan muda ini dilihat sebagai persaingan rapat antara BN dan mereka (Pakatan)," kata beliau ketika ditemui di Desa Seri Jenaris di Kajang hari ini.
Razali memberi komen mengenai culaan Pakatan yang mendakwa telah mendapat 65 peratus undi Melayu di Kajang ketika kempen tinggal seminggu sahaja lagi.
'Di Selangor pun rasuah'
Beliau juga menolak kenyataan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ( bawah ) yang mendakwa, Pakatan sukar mendapat undi Melayu kerana politik wang dari Umno.
"PKR merendahkan dan memperbodohkan pengundi dengan cara begitu.
"Bab duit dikaitkan dengan sentimen mengundi, saya percaya orang Kajang pandai, kalau saya pun kalau jadi pengundi Kajang orang kata saya undi BN sebab duit, saya pun marah," kata beliau.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai strategi lama Pakatan yang seolah-olah sudah mengalah terhadap undi Melayu yang selama ini dianggap setia kepada BN.
"Saya mahu beritahu, semua segi strategi mereka sama. Sebelum pembangkang buat sesuatu perkara, (mereka) akan tuduh BN dulu. Bab duit pun sama (mereka) kata BN untuk mengaburi tindakannya.
"Di Selangor pun mereka rasuah. Tapi tidak dilihat sedemikian," kata beliau.

