Kerajaan sementara Thailand akan menarik balik perintah darurat esok dan sebaliknya akan menggunakkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangani krisis politik di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar kerajaan sementara, Surapong Tovichakchaikul berkata pembatalan perintah daurat dan menggantikan dengan Akta ISA akan dicadang dan diumumkan pada mesyuarat mingguan kabinet esok.

Perintah daurat yang berkuatkuasa selama 60 hari bermula 22 Jan lepas meliputi Bangkok, wilayah Nontaburi, Lat Lumkaew di daerah Pratumthani dan Bangphli di daerah Sumutprakarn.

Bercakap kepada media, Surapong berkata beliau akan meminta Ketua Polis Negara Pol. Jen Adul Saengsingkaew supaya berbincang dengan pihak tentera bagi menanggalkan pondok tentera yang didirikan sejak perintah daurat dikuatkuasakan di bandar metropolitan itu.

Surapong, yang ketua penasihat Pusat Memelihara Keamanan dan Ketenteraman (CMPO), berkata kehadiran pondok tentera tidak lagi perlu selepas Akta ISA dilaksanakan.

"Saya akan mencadangkan supaya pondok tentera dialihkan kerana ia menjejaskan keyakinan para pelabur, pelancong dan ekonomi," katanya.

Selepas pembatalan perintah daurat itu, katanya beliau akan memberi taklimat kepada diplomat asing berhubung perkara itu di pejabat Kementerian Luar di Bangkok.

- Bernama