Saman fitnah oleh Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd terhadap MToday News Sdn Bhd dan wartawannya Aneesa Alphonsus, selesai setelah pengendali portal berita dalam talian itu memohon maaf di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

    

Saman itu adalah berhubung empat artikel yang disiarkan portal kendalian Mtoday, Free Malaysia Today, mengenai operasi syarikat tersebut di Bukit Koman, Raub, Pahang.

    

Hakim Datuk Rosnaini Saub merekodkan penghakiman persetujuan yang mengandungi kenyataan permohonan maaf yang dibaca peguam Sunil Abraham bagi pihak plaintif di mahkamah terbuka.

    

Beliau bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung kos.

    

Kenyataan permohonan maaf itu berkata defenden mengakui kesilapan serius mereka dalam menerbitkan/atau menyebabkan terbitnya artikel fitnah dalam laman sesawang berkenaan dan sedar akan kerosakan besar yang ditanggung plaintif dan terhadap nama baik plaintif.

    

"Defendan mengaku bahawa tidak terdapat asas bagi mana-mana tuduhan yang dibuat itu dan menarik balik sepenuhnya tohmahan yang dibuat terhadap plaintif," kata kenyataan oleh MToday.

    

Defendan mengaku bahawa semua tuduhan yang dibuat dalam artikel fitnah itu bercanggah dengan dapatan pihak berkuasa berkenaan, termasuk Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar dan oleh itu adalah tidak berasas.

    

Defendan juga memohon maaf sepenuhnya kerana menerbitkan artikel fitnah itu, yang pada hakikatnya merupakan pandangan individu tertentu yang tinggal berhampiran Kampung Bukit Koman, Raub, tanpa berdasarkan penyiasatan bebas bagi pihak defendan berhubung kebenaran tuduhan berkenaan.

    

"Defendan ingin menarik balik sepenuhnya penerbitan artikel fitnah itu, yang menjadi perkara pokok dalam saman yang difailkan oleh plaintif," kata kenyataan itu.

    

Katanya defendan juga ingin menyatakan bahawa mereka memberi jaminan tidak akan lagi menyiarkan kenyataan serupa yang berunsur fitnah pada masa akan datang.

    

Sunil berkata antara syarat penyelesaian itu ialah permohonan maaf akan disiarkan dalam bahagian utama portal berkenaan dalam tempoh 48 jam bermula tarikh penghakiman persetujuan (iaitu hari ini).

    

Syarikat berkenaan memfailkan saman itu pada 3 September 2012, dengan menamakan MToday News Sdn Bhd dan Aneesa Alphonsus sebagai defendan, berhubung penerbitan empat artikel terbabit dalam weblog berita dalam talian Malaysia Today (http://www.freemalaysiatoday.com).

    

Dalam kenyataan tuntutannya, syarikat itu berkata defendan memfitnahnya melalui empat artikel terbabit dengan menuduh, antara lain, loji Carbon-in-Leach kepunyaan plaintif di Bukit Koman, Raub, Pahang menjadi punca pelbagai penyakit, termasuk kerengsaaan kulit dan mata, batuk, pening, kelesuan dan/atau kanser.

    

Plaintif menuntut gantirugi umum, teruk dan teladan serta perintah untuk menghalang defendan daripada menerbitkan artikel serupa.

    

- Bernama