Wanita ketuai tentera laut Australia cari MH370
Seorang wanita Australia memainkan peranan penting dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.
Kapten Allison Norris adalah Pegawai Memerintah kapal kedua terbesar tentera laut Australia, HMAS Success, yang akan tiba di kawasan pencarian pagi ini, memberitahu News Corp menerusi telefon satelit, beliau dan 220 anak kapal sudah bersedia untuk berdepan apa juga cabaran.
Norris menjangkakan operasi mencari berdepan kesukaran berikutan keadaan cuaca dijangka merosot pada hujung minggu ini dengan keadaan laut bergelora dan ombak setinggi tiga dan empat atau 2.5 meter dan tiupan angin sederhana.
"Ini tidak menjejaskan keupayaan kami dalam misi mencari," katanya.
Sekiranya menemui sebarang serpihan daripada pesawat hilang itu, anak kapal akan cuba mengambilnya dengan menggunakan bot penyelamat dan mungkin kren, katanya kepada akhbar itu.
Norris berkata anak kapal sedar akan betapa pentingnya operasi itu dan mereka telah diberikan taklimat mengenai apa yang perlu dicari.
Misi mereka - mencari objek sepanjang 24 meter yang mungkin dapat merungkai misteri kehilangan pesawat itu, katanya.
Pelayaran kapal itu lancar tetapi dalam keadaan cuaca mendung dengan suhu 15 darjah.
Norris menyertai tentera laut sejak 1987 sebagai pegawai dan pakar perang.
Beliau merupakan pegawai memerintah kapal frigat HMAS Melbourne sebelum ditugaskan di daratan dan kemudiannya dilantik pegawai memerintah HMAS Success pada Disember 2012.
Beliau merupakan pegawai eksekutif di Melbourne semasa dikerahkan bertugas di Teluk di bawah operasi "Operation Catalyst" dan pernah berkhidmat di HMAS Sydney di Timur Tengah.
Pada 2010 beliau disenaraikan sebagai finalis bagi kategori komuniti dan kerajaan bagi bahagian ACT anugerah 'Telstra Business Woman'.
MH370, pesawat Boeing 777-200ER yang dalam penerbangan ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Sementara itu,, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) hari ini mengerahkan enam pesawat untuk menyertai operasi mengesan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.
AMSA dalam satu kenyataan di sini, berkata sebuah pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berlepas kira-kira 9 pagi (waktu Australia Timur) sementara dua pesawat komersial perjalanan jarak jauh berlepas pada jam 9.15 pagi.
"Pesawat kedua P3 Orion RAAF dijadual berlepas pada 11 pagi, manakala P3 Orion milik New Zealand pula pada pukul 1 tengah hari, dan pesawat ketiga P3 Orion RAAF dijangka terbang keluar pada 3 petang," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu disebabkan jarak perjalanan pergi balik ke lokasi pencarian yang jauh, pesawat P3 Orion yang terbabit hanya mempunyai masa pencarian selama dua jam.
Pesawat komersial perjalanan jarak jauh pula mempunyai masa pencarian kira-kira lima jam, kata kenyataan itu.
Selain itu, dua kapal dagang sudah berada di kawasan pencarian sementara kapal Tentera Laut Diraja Australia HMAS Success dijangka tiba lewat petang ini.
"Empat boya penanda yang digugurkan di kawasan pencarian awal minggu ini masih menghantar data mengenai pergerakan air ke AMSA," kata kenyataan itu.
Pesawat Boeing 777-200ER yang dalam penerbangan ke Beijing bersama-sama 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lepas.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
- Bernama

