Pasaran getah Malaysia dijangka didagangkan pada paras semasa minggu depan dengan sokongan belian sederhana bagi komoditi tersebut berikutan ketiadaan petunjuk baru.

    

Seorang peniaga berkata meskipun jangkaan kurang penawaran minggu depan disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak begitu baik, permintaan perlahan dari China akan memberi kesan kepada pasaran tempatan.

    

Beberapa pengimport getah China membatalkan pesanan setelah harga gred tayar turun baru-baru ini ke paras rendah dalam tahun ini, meningkatkan kebimbangan bahawa kelembapan dalam permintaan di negara pengguna utama dunia itu.

    

"Pembatalan itu mungkin menjadikan harga getah lebih rendah," kata peniaga itu dan menambah laporan stok getah yang tinggi di China dan Jepun mempengaruhi sentimen pasaran.

    

Pada minggu ini, harga getah dalam jajaran kecil dengan kebanyakan pembeli menjauhi pasaran.

    

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 15.5 sen kepada 623.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal menambah 1.5 sen kepada 495 sen sekilogram.    

    

Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 susut 11.5 sen kepada 627.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik satu sen kepada 496 sen sekilogram.

    

-Bernama