Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengumumkan pelan percatuan air bakal berterusan sehingga diarahkan tamat oleh kerajaan negeri Selangor.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, catuan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diteruskan kerana cuaca kembali panas dan kering.

"Para pengguna terus diingatkan agar tidak melakukan perkara yang terlarang dan tidak bertanggungjawab seperti melakukan kerosakan terhadap fasiliti dan infrastruktur bekalan air yang diuruskan oleh SYABAS termasuklah pada jajaran-jajaran paip.

“Perbuatan ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada para pengguna untuk mendapatkan bekalan air bersih apabila bekalan air pulih seperti sediakala," katanya.

Catuan peringkat pertama melibatkan beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dibuat ekoran penutupan loji rawatan air Cheras dan di Bukit Tampoi ekoran pencemaran ammonia dalam Sungai Langat.

Sementara itu, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga pula yang melibatkan beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Klang/Shah Alam adalah ekoran kekurangan bekalan air terawat disebabkan pengurangan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor

Sementara itu, SYABAS turut menolak laporan media bahawa pihaknya melaksanakan pengawalan dan pengurangan pelepasan air daripada Empangan Sungai Selangor dan Empangan Klang Gates.

Sebaliknya, menurut syarikat itu, ia dilaksanakan oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga) yang masing-masing mengawal empangan itu.

“Oleh yang demikian laporan media massa tersebut adalah kurang tepat," kata beliau lagi.

Semalam Bernama melaporkan SYABAS mengumumkan pengawalan dan pengurangan pelepasan air di kedua-dia empangan itu masih diteruskan atas keputusan dan arahan kerajaan negeri Selangor.