Parlimen rakam takziah dan doa
Persidangan Parlimen hari ini merakamkan takziah dan doa buat anak kapal dan penumpang pesawat MH370 yang disahkan hilang di Lautan Hindi.
Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mempengerusikan sidang pagi ini turut berharap agar keluarga penumpang dan anak kapal terus kuat dalam berhadapan dengan peristiwa itu.
"Pada kesempatan ini saya memohon juga agar keluarga penumpang dan anak kapal pesawat tersebut kekal tabah dan cekal dalam menerima ketentuan ini.
"Kita berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.
"Oleh yang demikian saya menjemput ahli-ahli Yang Berhormat bangun dan pada yang beragama Islam diminta menghadiahkan al-Fatihah kepada roh mereka.
"Pada yang bukan beragama Islam diminta bertafakur selama satu minit.
Al-Fatihah," kata Pandikar sewaktu memulakan sidang Dewan Rakyat pagi ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pengumumannya malam tadi berkata, bukti sedia ada mencadangkan kedudukan terakhir MH370 di pertengahan Lautan Hindi, di sebelah Barat Perth, Australia.
Pengumuman itu dibuat selepas usaha mencari dan menyelamat dilakukan selama 17 hari bermula daripada 8 Mac lalu.

