Menteri: Tak semua mampu seperti M'sia
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Malaysia menunjukkan pencapaian amat baik dalam menyelia operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.
Beliau yang menjawab soalan wartawan hari ini berkata: “Tidak semua negara boleh menghimpunkan 26 negara lain untuk membantu.”
Jelasnya, negara ini sanggup mengenepikan perselisihan mereka untuk bekerjasama dalam usaha mencari pesawat membawa 239 orang itu.
"Tiada masalah berhubung isu seperti warna kulit dan agama. Ia satu pencapaian hebat... Sejarah akan menghakimi kita dengan baik,” katanya.
Mengulas satu lagi perkara, Hishammuddin berkata pihak berkuas Malaysia telahpun memenuhi permintaan China untuk mendapatkan kesemua maklumat dan juga data satelit.
Permintaan itu dibuat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada hari Isnin lalu bahawa penerbangan pesawat tersebut berakhir di selatan Lautan Hindi.
Ditanya mengenai kemarahan waris penumpang warga China di Beijing, Hishammuddin berkata anggota keluarga itu perlu memahami bahawa rakyat Malaysia dan negara lain juga kehilangan orang tersayang.
Katanya, beliau berharap masa akan menenangkan emosi mereka yang bergolak.
"Saya telah melihat rakaman dari Australia, di mana terdapat penerimaan dan tiada orang yang menyalahkan kerajaan Malaysia,” katanya.
Buat masa ini terdapat 18 buah kapal, 29 pesawat dan 6 helikopter dari pelbagai negara beroperasi di kawasan pencarian, katanya.

