Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Konsert Simfoni sempena keputeraan Tuanku Muhriz
Diterbitkan:  Mar 27, 2014 9:38 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Konsert Simfoni Warisan sempena Hari Keputeraan ke-66 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir akan diadakan di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut dekat Seremban, Ahad ini.

Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan Norbaiyah Baharudin berkata konsert anjuran kerajaan negeri dan Jabatan Penyiaran negeri itu untuk memartabatkan lagu-lagu rakyat Negeri Sembilan yang akan dipersembahkan oleh pemuzik daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

"Bagi memeriahkan lagi konsert ini, sebuah lagu yang dicipta khas untuk Tuanku Muhriz oleh Dekan Fakulti Muzik Aswara bertajuk 'Nogori' akan didendangkan khas oleh penyanyi Aswara," katanya di Seremban.

Konsert itu yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu alunan muzik klasik dan moden yang menggunakan alatan muzik tradisional akan dipimpin oleh dua konduktor iaitu Ramlan Mohd Imam dan Roslan Mohd Imam.

Katanya Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dijangka berangkat menyaksikan konsert itu yang bermula pada 8.30 malam.

Katanya lebih 800 tetamu jemputan termasuklah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka turut menghadiri konsert yang pertama kali diadakan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS