Jeneral Sisi umum tanding presiden Mesir
Abdel Fattah al-Sisi, jeneral yang menggulingkan Mohamed Mursi, presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokratik, mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya presiden.
Beliau dijangka menang mudah.
Sisi amat popular di kalangan penyokongnya apabila dilihat sebagai pemimpin yang kuat untuk menstabilkan negara yang terus dilanda krisiss.
Ketika mengumumkan kesediaan itu, Sisi berikrar akan terus berjuang membebaskan Mesir daripada “ketakutan dan keganasan”, merujuk kepada serangan berterusan sejak Mursi digulingkan, lapor Reuters.
Selain sisi, pemimpin gerakan kiri Hamdeen Sabahi – yang popularitinya di tempat ketiga dalam pilihan raya 2012 – sudah mengisytiharkan bertanding sebagai presiden.
Amerika Syarikat, sumber bantuan utama ketenteraan ke Mesir, berkata tidak menyokong mana-mana pihak atau parti dalam pilihan raya itu.
Ketegangan berterusan, pelajar terbunuh
Sementara itu, ketegangan tidak kunjung sudahnya di Mesir sejak Hosni Mubarak digulingkan pada 2011, diikuti penggulingan Mursi kemudiannya, menurut agensi berita antarabangsa itu.
Pada Rabu, seorang pelajar terbunuh dalam demonstrasi di Universiti Kaherah, yang berpunca daripada hukuman mati mahkamah terhadap 529 penyokong Ikhwanul Muslimin.
Kini hampir keseluruhan pemimpin Ikhwan dipenjarakan dan Mursi sendiri menghadapi pendakwaan yang boleh membawa kepada hukuman mati.
Ahli akademik berpendapat, jika Sisi tidak tampil dengan pelan pendamaian yang sebenar-benarnya, beliau akan gagal menguruskan ketegangan di Mesir.

