Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup enggan meneruskan polemik sekitar seruan “undi orang kamu sendiri” yang dibuatnya sewaktu kempen pilihan raya kecil Kajang, 16 Mac lalu.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan dari Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang) yang mahu beliau menjelaskan ucapannya di Parlimen, hari ini.

"YB, saya sudah cakap tadi saya tidak ingin memanjangkan perkara ini," katanya dalam ucapan penggulungan di Parlimen, petang ini.

Kurup merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perpaduan negara.

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional juga terletak di bawah seliaan beliau.

Namun, sewaktu bercakap kepada pengundi Cina dalam sebuah majlis di Kampung Bukit Angkat, Sungai Chua, Kajang; Kurup didapati membuat seruan tersebut yang dilihat ramai pihak sebagai tidak kena dengan mesej perpaduan nasional.

"Undilah calon BN (kanan) untuk kestabilan politik.

"Undilah calon BN untuk kesejahteraan rakyat dan perpaduan negara.

"Undilah calon BN yang merupakan orang kamu sendiri," Joseph dilaporkan berkata.