M'sia digesa gantung hubungan dengan Mesir
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan Malaysia menggantung hubungan dengan Mesir sehingga keadaan di negara itu kembali stabil ekoran mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong Ikhwal Muslimin.
Mengecam hukuman itu, Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid menganggap hukuman berkenaan paling luar biasa dan tidak mengikut proses undang-undang yang wajar.
"Kami berpendirian adalah menjadi suatu tindakan yang munasabah untuk Malaysia mengambil sikap yang jelas apabila sebuah negara melaksanakan sistem politik diktator yang menzalimi rakyatnya sendiri.
"Hukuman mati massa ini adalah duluan pertama seumpamanya dalam sejarah moden Mesir hatta dunia seluruhnya. Malaysia harus mengambil pendirian yang berprinsip ke atas apa yang berlaku di Mesir.
"Ia harus berani menunjukkan contoh tidak berkompromi dengan kezaliman di mana sahaja ia berlaku," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, Mohd Azmi meminta Malaysia mengusulkan kepada PBB dan OIC supaya mengambil tindakan pada Mesir yang dianggapnya tidak menunjukkan tanda akan keluar dari pemerintahan ketenteraan.
"Sebagai negara OIC yang penting, tindakan regim tentera Mesir yang melanggar hak asasi manusia dan kembali kepada zaman pemerintah diktator, menyebabkan Malaysia perlu mengkaji semula hubungannya dengan Mesir," katanya.
Sementara itu, Mohd Azmi turut kesal dengan Speaker Parlimen Malaysia Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak usul Pakatan Rakyat untuk membahaskan keputusan hukuman mati itu kerana antaranya menghormati perundangan negara itu.
Mohd Azmi berkata alasan itu sangat lemah malah suara PBB yang melihat hukuman itu sebagai melampaui proses undang-undang yang biasa dan tidak memenuhi kualifikasi proses pembicaraan yang boleh diterima oleh komuniti antarabangsa.

