Tepat tengah malam ini, waktu untuk merayu dan menagih sokongan buat dua pihak yang gigih berkempen sejak hari penamaan calon pada 17 Mac lepas bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, tamat.

    

Esok merupakan hari penentuan bagi 13,366 pengundi berdaftar dalam kawasan DUN itu untuk memilih siapa anggota Dewan Undangan Negeri Balingian yang baru, dengan berkunjung ke 21 pusat mengundi yang disediakan.

    

Pilihan raya kecil (PRK) DUN Balingian dikosongkan Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak ketika itu, sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

    

PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo sebagai calon BN dan ahli perniagaan Abdul Jalil Bujang mewakili PKR.

    

Kemeriahan kempen untuk PRK ini bagaimanapun dilihat sedikit terjejas, tidak seperti mana-mana pilihan raya kecil sebelum ini, kerana seluruh negara ketika ini dilanda kesedihan berikutan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac lepas.

Jika keputusan beberapa pilihan raya lepas diambil kira, BN sememangnya dilihat selesa kerana DUN Balingan sememangnya menjadi milik BN sejak sekian lama, mendapat sokongan padu penduduk majoriti Melanau, lebih-lebih lagi apabila ia pernah di wakili oleh ketua menteri Sarawak.

    

Walaupun ramai yang berpendapat bahawa ia sememangnya merupakan kawasan milik BN, namun fakta ini tidak menghalang ramai pemimpinnya untuk gigih berkempen, dengan sasaran untuk menambah undi majoriti kemenangan.

    

Dari satu sudut pula, ia adalah sebagai usaha BN untuk membuktikan bahawa sokongan rakyat kini semakin meningkat, lebih-lebih lagi selepas ia dilihat berjaya mengurangkan majoriti PKR pada pilihan raya kecil DUN Kajang hujung minggu lepas.

    

Di pihak kerajaan negeri pula, PRK ini menjadi medan ujian pertama buat Ketua Menteri Sarawak baharu, Tan Sri Adenan Satem, yang kini mempunyai misi untuk membuktikan bahawa peralihan kuasa di Sarawak tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan negeri.

    

Beliau dilihat gigih berkempen secara sistematik, menangani satu demi satu isu yang dibangkitkan pada PRK ini, seperti pertemuannya dengan komuniti Cina, komuniti beragama Kristian, lawatan ke kilang Press Metal Sarawak yang sering dijadikan sasaran pembangkang sebagai bahan kempen, dan juga penglibatan beliau dalam menyelesaikan beberapa isu berkaitan pemilikan tanah.

Sementara itu di pihak PKR, ia memilih untuk meletakkan Setiausaha PKR Bintulu, Abdul Jalil, 55, yang pernah tewas pada pilihan raya negeri di DUN Jepak pada 2011 untuk menentang Yussibnosh, 48, anak tempatan Mukah.  

    

Kempen PKR yang diharapkan mereka menjadi paling hebat dengan sasaran mengumpul kehadiran ramai pendengar, pastinya pada hari Selasa lepas iaitu dengan kunjungan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke satu majlis ceramah perdana di sini, namun apabila tiba harinya, ia berlangsung tidak seperti mana yang diharapkan pembangkang.

    

Ceramah yang sepatutnya bermula pada pukul 8 malam, diawalkan kepada kira-kira pukul 7 malam, sekitar waktu Maghrib di Mukah, mengakibatkan majlis menjadi hambar tanpa kunjungan ramai.

    

Anwar pula kemudian bergegas pulang untuk menghadiri satu kes mahkamah di Putrajaya esoknya.

    

Balingian mempunyai 13,366 pengundi berdaftar, dengan Melanau/Melayu merupakan kumpulan majoriti iaitu sebanyak 7,705 orang atau 57.65 peratus, Iban 3,875 (28.99 peratus), Cina 1,683 (12.59 peratus), Orang Ulu 29 (0.22 peratus) Bidayuh 19 (0.14 peratus) dan kaum lain 55 (0.41 peratus).

    

-Bernama