Duta: Irene gigih perjuang hak asasi
Pengarah Eksekutif Tenaganita dan aktivis hak asasi manusia, Irene Fernandez akan dikenang kerana keberanian dan kegigihannya memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia, kata Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Joseph Y Yun.
"Bagi pihak Kedutaan Amerika di Malaysia, saya ingin merakamkan perasaan sedih kami apabila menerima berita pemergian Dr Irene Fernandez," kata beliau dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.
Yun melahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga Irene dan kebanyakan rakannya sambil berkata kedutaan tahun lepas telah mencalonkan mendiang bagi Anugerah Keberanian Wanita Antarabangsa kerana menghargai perjuangannya membela hak wanita, pekerja migran dan mangsa AIDS di Malaysia.
Beberapa tahun sebelumnya, Jabatan Negara Amerika memberi pengiktirafan kepada Irene sebagai seorang daripada aktivis utama di seluruh dunia yang berjuang bagi menamatkan perhambaan zaman moden, katanya.
"Kerajaan Amerika berpendapat tidak ada orang yang lebih layak untuk menerima penghormatan itu selain mendiang. Kami tersentuh dengan kegigihan dan sumbangannya memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia," katanya.
Irene, 67, meninggal dunia 10.58 pagi di Unit Rawatan Koronari Hospital Serdang selepas mengalami komplikasi jantung pada Isnin.
Di SEREMBAN, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam menyifatkan Irene sebagai seorang yang berdedikasi dalam memperjuangkan nasib pekerja tempatan dan asing di negara ini.
Katanya beliau mula mengenali mendiang semasa menjadi Menteri Sumber Manusia.
"Walaupun kadang-kadang bertentangan pendapat, tetapi saya masih menghormati pendirian dan prinsip perjuangan mendiang," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jasad mendiang di rumah mendiang di Taman Sungai Ujong, Rasah.
Sementara itu, suami mendiang, Joseph Paul, 67, berkata jasad mendiang akan dibawa ke gereja 'Church of Devine Mercy' Shah Alam, Selangor, Khamis ini sebelum dibakar di Nirwana Crematorium, Shah Alam pada Jumaat.
Katanya abu mayat mendiang kemudian akan ditanam di kubur Kristian Sungai Petani, Kedah.
-Bernama

