Ambil alih lebuh raya hakis keyakinan pelabur
Tindakan mengambil alih lebuh raya akan menghakis keyakinan pelabur asing dan menyebabkan kerajaan perlu berbelanja sebanyak RM400 bilion, demikian kenyataan Kementerian Kerja Raya.
Ini kerana langkah itu akan dilihat sebagai proses "nasionalisasi" dan akan memberi imej buruk kepada kerajaan, kata kementerian.
Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Hanipa Maidin (PAS-Sepang) hari ini.
"Cadangan pengambilalihan ini juga akan dianggap sebagai nasionalisasi yang akan memberi kesan negatif kepada pasaran modal dan imej kerajaan di kalangan pelabur terutamanya pelbur asing," jawapan itu dipetik.
Hanipa dalam sidang medianya berkata, langkah mengambil alih konsesi lebuh raya itu akan membolehkan kerajaan mengelak dari membayar pampasan setiap kali kadar kenaikan tol ditangguhkan.
MP Shah Alam, Khalid Samad yang turut hadir pada sidang media sama menjelaskan, pengambilalihan itu juga satu langkah yang baik kerana akan memberi manfaat kepada rakyat.
Hujung tahun lepas, kerajaan mengumumkan cadangan untuk menaikkan kadar tol untuk tahun 2014 walaupun berjanji untuk menurunkannya dalam pilihan raya umum lalu.
Rancangan kenaikan tol berjadual itu bagaimanapun ditangguhkan selepas mendapat kritikan meluas, termasuk dari kem BN sendiri, yang menyebabkan kerajaan terpaksa pampasan kepada pemegang konsesi berjumlah RM400 juta.

