Satu hotel milik kerajaan Selangor memberhentikan lebih 100 kakitangannya kerana beban kos dan kegagalan menjana keuntungan sejak beberapa tahun lalu.

Hotel Quality Shah Alam, yang akan memberhentikan operasinya pada 1 Jun mengeluarkan notis pemberhentian khidmat para pekerja berkenaan, bertarikh 31 Mac, lapor Berita Harian.

Laporan berkenaan memetik kenyataan seorang pegawai tinggi Kumpulan Perangsang Selangor yang menyebut, pihak pengurusan hotel berusia 26 tahun itu akan membantu pekerja yang diberhentikan.

Ketua jabatan perhubungan awam media dan tanggungjawab sosial korporat Perangsang Selangor, Amin Lin Abdullah berkata semua pekerja tersebut semua pekerja berkenaan akan diberi pampasan bersama gaji terakhir pada bulan Mei.

"Mereka bukan sahaja diberikan pampasan, tetapi juga bantuan seperti  khidmat nasihat untuk mencari kerja baru dan temuduga, kaunseling, penggunaan aset syarikat untuk menyiapkan surat permohonan kerja, testimoni serta peluang keusahawanan," katanya.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat memandangkan prestasi kewangan hotel berkenaan tidak berubah walau selepas dengan bantuan subsidi sewa dan juga usaha pihak pengurusan meningkatkan keuntungan dan mengurangkan bebanan kos.

Menurutnya, ruang hotel yang menggunakan tujuh daripada 27 tingkat di bangunan Plaza Perangsang akan dibangunkan semula sebagai ruang pejabat.