Pemuda PAS Perak menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir bertindak terhadap 'Raja Bomoh', Ibrahim Mat Zain yang baru-baru ini mengadakan upacara perbomohan di Pulau Sembilan, Manjung, Perak.

Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Yaakob berkata Zambry perlu menyatakan sikap kerajaan negeri terhadap bomoh itu dalam ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri Perak, esok.

Menurut Iskandar ( kanan ), ini kerana Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah bertindak terhadap upacara perbomohan Ibrahim sebelum ini di KLIA.

"Kami menunggu tindakan terhadap Ibrahim oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan kerajaan negeri.

"Dan kami menunggu pengumuman Zambry pada hari Jumaat ini apakah tindakan terhadap Ibrahim," katanya dalam kenyataan.

Iskandar juga mendakwa Zambry "melenting" apabila nama Ibrahim disebut dalam sidang DUN Perak oleh ADUN Titi Serong dari PAS, Abu Bakar Hussien, semalam.

AgendaDaily melaporkan Zambry membidas Abu Bakar kerana cuba mengaitkan dirinya dan seorang lagi ADUN BN, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dengan Ibrahim.

Zambry dilapor menafikan beliau dan Zainol mempunyai hubungan dengan Ibrahim walaupun pernah menerima selempang silat kehormat dari Ibrahim, tahun lalu.

Ibrahim Mat Zain mencuri perhatian ramai apabila melakukan upacara perbomohan di KLIA tidak lama dahulu bagi mengesan pesawat MH370 yang hilang.

Terkini, beliau dilaporkan mengadakan upacara menyeru mayat timbul dari laut di Pulau Sembilan selepas pesawat MH370 dilaporkan berakhir di Lautan Hindi.