Baiki saat akhir, pesawat MAS tertangguh 4 jam
Diterbitkan: Apr 3, 2014 6:00 PM | Dikemas kini: Apr 3, 2014 6:37 PM
Pesawat Malaysia Airlines MH004 menuju ke London yang sepatutnya berlepas dari Kuala Lumpur pagi ini tertangguh selama empat jam kerana pembaikan saat akhir kepada pesawat itu.
"Memandangkan keselamatan penumpang adalah keutamaan tertinggi penerbangan ini, penjadualan semula ini penting untuk membolehkan kerja-kerja membaiki pesawat dilakukan," kata MAS dalam kenyataannya.
Pesawat berkenaan ditangguhkan selama empat jam dari jam 10.10 pagi ke jam 2.15 petang.
Ia dijangka tiba di London pada jam 8.25 malam waktu tempatan hari yang sama.
"Malaysia Airlines kesal dengan ketidakselesaan yang berlaku kepada pelanggan kami," katanya dalam kenyataan.

