Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noh dakwa MB 'lepas tangan' isu pekerja hotel

Badan Perhubungan Umno Selangor menyifatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai 'lepas tangan' dalam isu penamatan perkhidmatan 105 pekerja Quality Hotel di Shah Alam.

    

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata kenyataan Abdul Khalid yang mendakwa beliau tidak mengetahui perkhidmatan pekerja hotel berkenaan ditamatkan adalah tidak berasas.

    

"Hotel itu di bawah pengurusan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) dan KPS merupakan anak syarikat KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) ... Abdul Khalid pula merupakan pengerusi kepada KDEB.

    

"Sebagai menteri besar serta orang yang memikul tanggungjawab, mustahil beliau tidak tahu, tolong jangan bersikap lepas tangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Majlis Sukan Sekolah Selangor semalam.

    

Dalam sidang media kelmarin, Abdul Khalid berkata pihaknya tidak mengetahui penamatan perkhidmatan pekerja terbabit.

    

Abdul Khalid juga mendakwa walaupun KDEB memiliki majoriti saham dalam KPS namun pengurusan syarikat itu di bawah jagaan anggota lembaga pengarahnya.

    

Mengulas lanjut, Noh mendakwa bahawa Abdul Khalid mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana beliau tidak mahu dipersalah dalam isu berkenaan.

    

"Beliau kena perjelaskan dan ambil tanggungjawab tentang isu ini, saya juga meminta pekerja yang terlibat supaya mengambil tindakan undang-undang, sekiranya mereka teraniaya," katanya.

    

Akhbar kelmarin melaporkan seramai 105 pekerja Quality Hotel ditamatkan perkhidmatan oleh KPS berikutan penutupan hotel yang sudah beroperasi selama 26 tahun itu pada 1 Jun ini selepas mengalami kerugian.

    

Ketua Perhubungan Awam dan Media KPS Amin Lin Abdullah dipetik sebagai berkata kesemua pekerja terbabit menerima surat pemberhentian kerja pada 31 Mac lepas dan dimaklumkan hari terakhir mereka bertugas ialah 31 Mei ini.

- Bernama

ADS